Wednesday, January 14, 2015

Peliharalah aib orang lain




Ada seorang perempuan datang kepada Syeikh Hatim Al Asham untuk bertanya tentang sebuah persoalan.

Ketika bertanya, tiba-tiba keluarlah bunyi buang angin daripada perempuan itu dan ia merasa sangat malu.

"Keraskan suaramu!" demikian teriak Hatim dengan keras untuk mengesankan seolah beliau tuli.

Si perempuan merasa senang dan mengira kalau Hatim tidak mendengar bunyi buang angin-nya.

Kerana kejadian itulah, kemudian Syeikh Hatim mendapat gelaran Al Asham (si tuli).

***

Sungguh kita mendapat pelajaran yang sangat berharga daripada Syeikh Hatim Al Asham.

Hal yang menarik daripada kisah di atas adalah usaha daripada seorang besar yang menutup rapatkeburukan orang lain, tidak menghebahkan sebagaimana terjadi ketika ini, di mana kita melihat fenomena tayangan 'mendedahkan' atau 'menelanjangkan' hal yang juga aib orang, mendedahkan maksiat juga zina yang terjadi dengan begitu terang benderang.

Habib Abdullah bin Alwi Al-Haddad dalam bukunya Al Da'wah Al Tammah, mengutip ucapan Sayyidina Al Hasan Al Basri, berkaitan meneliti aib diri sendiri;

Imam Hasan Al-Basri berkata, "Engkau tidak akan memperoleh hakikat iman selama engkau mencela seseorang dengan sebuah aib yang ada pada dirimu sendiri. Perbaikilah aibmu dan kemudian engkau memperbaiki aib orang lain. Setiap engkau memperbaiki satu aibmu, maka akan tampak aib lain yang harus kau tempelkan. Akhirnya kau sibuk memperbaiki dirimu sendiri. Dan sesungguhnya hamba yang paling dicintai Allah adalah ia yang sibuk memperbaiki diri sendiri. Sepanjang sejarah kehidupan manusia, tidak ada hari seperti hari kiamat, hari di mana aib terbuka dan mata menangis."

Seorang ulama pernah berkata;

"Aku tidak mencari sesuatu yang paling mudah menghilangkan amal, merosakkan hati, mengheret kepada kebinasaan seorang hamba dan mendekatkan kepada kebencian serta memudahkan kemasukan rasa suka kepada sifat riya', ujub dan kedudukan selain menjadi kenyataan pada terhadnya pengetahuan seorang hamba akan aib-aib dirinya sendiri sambil melihat keburukan yang ada pada diri orang lain. "

Imam Al Ghazali dalam kitabnya yang terkenal, Ihya Ulumuddin, mengetengahkan isu jitu menyingkap kekurangan yang melekat pada diri kita. Beliau menyarankan untuk menempuh empat cara:

Pertama, duduk di hadapan seorang guru yang mampu mengetahui keburukan hati dan pelbagai masalah yang tersembunyi di dalamnya. Kemudian ia memasrahkan dirinya kepada sang guru dan mengikuti petunjuknya dalam bermujahadah membersihkan aib itu. Ini adalah keadaan seorang murid dengan Syeikhnya dan seorang pelajar dengan gurunya. Sang guru akan menunjukkan aib-aibnya serta cara rawatannya.

Namun, di zaman ini guru atau pendidik seperti ini jarang ditemui, apalagi payah dijumpai.

Kedua, mencari seorang teman yang jujur, mempunyai bashiroh (mata hati yang tajam) dan berpegang pada agama. Ia kemudian menjadikan temannya itu sebagai pengawas yang mengamati keadaan, perbuatan, serta semua aib batin dan zahirnya, sehingga ia dapat memberi peringatan kepadanya.

Demikianlah yang dilakukan oleh orang-orang cerdik, orang-orang terkemuka, dan para pemimpin agama di zaman dahulu kala yang mana selayaknya kita sebagai hambaNya melaksanakan demikian.

Ketiga, berusaha mengetahui aib daripada ucapan musuh-musuhnya kerana pandangan yang penuh kebencian akan menyingkapkan keburukan seseorang. Boleh jadi manfaat yang diperolehi seseorang daripada musuh yang sangat membencinya dan suka mencari kesalahannya lebih banyak daripada teman yang suka bermanis muka, memuji dan menyembunyikan aib-aibnya.

Akan tetapi, sudah menjadi watak manusia untuk mendustakan ucapan musuh-musuhnya dan menganggapnya sebagai ungkapan kedengkian. Hanya orang yang mempunyai mata hati jernih yang mampu memetik pelajaran daripada keburukan dirinya yang disebutkan oleh musuhnya.

Keempat, bergaul dengan masyarakat. Setiap kali melihat perilaku tercela seseorang, maka ia akan menuduh dirinya sendiri juga memilki sifat tercela itu. Kemudian ia menuntut dirinya untuk terus meninggalkannya.

Kerana seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin yang lainnya. Ketika melihat aib orang lain ia akan melihat aib-aibnya sendiri.

Masya'Allah.

Jadi;

Bencilah setiap perbuatan buruk itu kerana Allah.

Jika berupaya;

Cegahlah dengan tangan
tegurlah dengan lisan
dan selemah-lemahnya iman;
berdoa dan dalam hati.

"Cintailah sesuatu yang anda cintai sekadarnya sahaja, kerana suatu masa nanti ia akan menjadi sesuatu yang anda benci; dan bencilah sesuatu yang anda benci itu sekadarnya sahaja, kerana suatu waktu nanti ia akan menjadi sesuatu yang kamu cintai".

Dalam sebuah hadis, Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam bersabda;

"Aku memohon kepadaMu (Ya Allah) agar aku selalu boleh bersikap sederhana, baik ketika marah mahupun senang."

Tutuplah aib orang lain agar Allah tutupkan aib diri anda.

No comments:

Post a Comment